Perkahwinan

Posted: September 18, 2010 in Perkongsian Ilmu

Perkahwinan adalah suatu ibadah. Ia berguna untuk menjaga kebahagian umat dari kerosakan dan keruntuhan akhlak. Ia juga dapat menjaga masyarakat dari melakukan hubungan yang ditegah dan haram di sisi agama.Islam menekankan para pemuda berkahwin seperti maksud hadith Rasullah s.a.w. yang berbunyi:

” Wahai para pemuda, barangsiapa di antara kamu telah mampu menanggung beban rumahtangga hendaklah segera kahwin, kerana hal ini lebih dapat memejamkan mata (tidak memandang perempuan) dan lebih dapat menjaga kesucian diri (dari perbuatan zina). Siapa yang belum mampu sebaiknya ia berpuasa, kerana puasa baginya adalah penjagaan diri”.

"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan Nya, dia menjadikan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri supaya kamu merasa tenteram kepadanya. Dan dijadikan di antara kamu kasih sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir"

Surah Ar-Rum ayat 21

"Manusia Hawa dicipta dari rusuk manusia Adam". Bukan dari kepalanya untuk dijadikan atasnya, bukan pula dari kakinya untuk dijadikan alasnya. Melainkan dari sisinya, untuk dijadikan teman hidupnya. Dekat pada lengannya untuk dilindungi dan dekat dengan hatinya untuk dicintai"

Firman Allah

Menolak atau mengabaikan perkahwinan adalah perbuatan yang menyimpang dari Sunnah Rasullah s.a.w. Mengenai hal ini Rasullah s.a.w. bersabda:

“Nikah itu sunnahku, barangsiapa yang benci pada sunnahku, maka dia bukanlah dari golonganku”.

Hadis Riwayat Abu Yu’la dari Ibnu Abbas

“Barangsiapa tidak menyukai sunahku, ia bukan dari aku (umatku). Berkahwin adalah sunahku kerana itu siapa yang mengasihiku hendaklah ia melaksanakan sunahku”.

Hadith Riwayat Ahmad Ibnu Hanbal

“Orang-orang yang buruk di antara kamu ialah mereka yang hidup membujang dan di antara kamu yang matinya sia-sia ialah mereka yang hidup membujang”.

Hadith Riwayat Ahmad Ibnu Hanbal

Islam menggalakkan perkahwinan kerana banyak kelebihannya. Perkahwinan merupakan salah satu kaedah pembentukan keluarga. Ibadah orang yang berkeluarga adalah melebihi ibadah orang yang hidup membujang. Ini telah ditegaskan oleh Rasullah s.a.w.:

“Sesungguhnya perkahwinan itu pertolongan kepada agama dan penghinaan kepada syaitan, benteng teguh terhadap musuh Allah dan sebab untuk memperbanyakkan umat yang menjadi kebanggaan Rasullah s.a.w”.

Imam Al-Ghazali

“Dua rakaat yang dilakukan oleh orang yang bekeluarga lebih afdal daripada tujuh puluh rakaat yang dilakukan oleh orang hidup membujang”.

Hadith Riwayat Ibnu ‘Adiy dari Abu Hurairah

"Apabila seorang hamba Allah telah beristeri / bersuami ia telah menyempurnakan separuh agamanya. Pada separuh yang lainnya hendaklah ia bertaqwa kepada Allah".

Hadith riwayat Al-Baihaqi

"Hendaklah kamu beristeri, kerana sehari hidup beristeri lebih baik daripada seribu tahun beribadah".

Hadith Riwayat Abdullah Ibnu Abbas

"Dan dari segala sesuatu, Kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu mengingati kekuasaan Kami dan mentauhidkan Kami".

Surah Azzariyat ayat 49

Walimatulurus bukan saja satu tuntutan budaya, bahkan adalah sebahagian tuntutan agama.Tujuan mengadakannya untuk menyebarkan berita perkahwinan itu. Rasulullah s.a.w. mengarahkan setiap perkahwinan dihebohkan. Dari Amar ibnu Yahya al-Mazini dari datuknya Abi Hassan menceritakan bahawa Rasullah s.a.w benci terhadap perkahwinan rahsia hingga rebana dipukul dan dikatakan: "Kami datang kepada kamu, hormati kami, kami pun menghormati kamu." (Hadis riwayat Ahmad)." Sebarkanlah nikah ini dan adakan di masjid dan pukullah rebana." (Hadis riwayat Ahmad dan Tarmizi).

Penyebaran berita perkahwinan bertujuan menghalang fitnah yang mungkin timbul terhadap pasangan yang baru berkahwin.Walimatulurus juga merupakan tanda kesyukuran di atas kejayaan menunaikan dan menyempurnakan salah satu sunnah Rasulullah s.a.w. Sabda baginda bermaksud: "Bukan di kalangan umatku mereka yang tidak ingin berkahwin."

Rasulullah s.a.w pernah bersabda kepada Abdul Rahman bin Auf yang mahu berkahwin agar mengadakan walimatulurus biarpun sekadar menyembelih seekor kambing. Sabda Rasulullah bermaksud: "Buatlah kenduri walaupun dengan seekor kambing." Riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Anas katanya: Rasulullah s.a.w mengadakan walimatulurus dengan seekor kambing untuk isteri-isterinya dan juga Zainab.

================================================

Kahwin Kerana Nafsu Atau Kasih Sayang ?

14 December 2009

Oleh Ramzi Ramli

Hubungan lelaki dan perempuan adalah fitrah kejadian yang ditetapkan oleh Allah taala, hubungan yang dijalinkan hendaklah atas dasar syariat. Firman Allah taala ;

Maksudnya; “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu Dengan Yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang Yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan Yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu)”. Al-hujurat-13

Dalam Islam hubungan tersebut adalah ikatan perkahwinan yang sah. Timbul persoalan apabila pasangan yang berkahwin selalu menghadapi masalah dalam rumah tangga, apabila membincangkan perkara ini, ada pihak yang mendakwa perkahwinan yang berdasarkan hawa nafsu akan sering dilanda masalah, adapun perkahwinan yang didasari dengan kasih sayang kurang mempunyai masalah.

Pada pandangan saya ikatan kekeluargaan itu terdiri daripada ikatan antara dua insan yang berlainan jantina iaitu lelaki dan perempuan yang mempunyai hormon yang berbeza. Sudah tentu dua insan ini berbeza dari segi emosi, pemikiran, jasmani dan rohaninya. Maka apabila berlaku masalah dan pertengkaran, masing-masing akan mempertahankan diri dengan emosi dan pemikiran tersendiri. Sekiranya keluarga itu tidak bijak mengawal emosi maka akan bertambah parah masalah tersebut dan sebaliknya.

Perkahwinan atas dasar kasih sayang memang tidak dapat disangkal lagi sebagaimana firman Allah taala;

Maksudnya; “Dan di antara tanda-tanda Yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, Bahawa ia menciptakan untuk kamu (Wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.

Sesungguhnya Yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang Yang berfikir”.ar-Ruum-21

Dalam ayat ini dapat difahami bahawa nikmat kasih sayang itu wujud dalam suasana hubungan antara lelaki dan perempuan yakni selepas bergelar suami dan isteri. Imam al-Alusi dalam menafsirkan ayat ini menyebutkan bahawa : “diciptakan bagi kamu isteri dari jenis kamu sendiri( yakni asal penciptaan hawa dari rusuk adam), supaya kamu cenderung kepadanya, sesungguhnya faktor sejenis ini akan menguatkan lagi hubungan kasih sayang”.

Berkahwin kerana nafsu, bukan kerana kasih sayang selalu menjadi hujah sesetengah golongan isteri yang kononnya kecewa dengan suami mereka yang tidak mengendahkan perasan,dan hati isteri dalam kehidupan berumah tangga. Isteri dikatakan menjadi mangsa suami, yang mengabaikan tanggungjawab dan sebagainya. Namun dalam menyelesaikan hubungan rumah tangga suami dan isteri harus bermuhasabah diri masing-masing, dan perlu bertolak ansur. Hujah ataupun tohmahan ini dilihat seolah-olah nafsu itu sesuatu yang buruk dan amat keji, sedangkan perasaan kasih sayang sendiri memerlukan kepada nafsu, makan perlu kepada nafsu, tidur dan kehidupan keseluruhannya perlu kepada nafsu.

Apakah yang dikatakan nafsu itu. Nafsu itu satu perkataan daripada bahasa arab dan dalam Bahasa Melayu membawa erti keinginan yang kuat. Jadi semua perkara tidak akan berlaku dan terjadi melainkan dengan adanya keinginan dalam diri kita. Adapun keinginan dan perbuatan kita didorong oleh nafsu, sama ada nafsu yang mengajak kepada kebaikan ataupun yang mengajak kepada kejahatan.

Nafsu terbahagi kepada nafsu muthmainnah, nafsu lawwamah, nafsu mulhimah, dan nafsu amarah. Tingkatan nafsu yang paling buruk ialah nafsu amarah, iaitu nafsu yang menyeru kepada kejahatan. Dan nafsu inilah yang perlu kita bendung dengan berkahwin, supaya diri kita tidak dikawal olehnya lalu menjerumuskan diri dalam lembah kehinaan.

Sekiranya dikatakan, ada sesetengah pasangan yang berkahwin bukan kerana keinginan dan nafsu kasih sayang, yang ada hanya nafsu keinginan seks semata, ya saya katakan ada, ini kerana berkahwin atas dasar keinginan seks adalah bagi menghalang diri daripada melakukan kemaksiatan yang merosakkan, selagi mana perkahwinan itu tidak melanggar etika dan peraturan perkahwinan yang telah ditetapkan oleh syariat. itu juga yang disarankan oleh Rasulullah S.A.W. , sabdanya yang bermaksud;

Daripada A’lqamah ra berkata: ketika aku berjalan bersama Abdullah r.a, Abdullah berkata: satu ketika kami bersama Rasulullah S.A.W, lalu beliau bersabda: “sesiapa di antara kamu yang ada keinginan seks ( Jimak ) hendaklah dia berkahwin, kerana dengan berkahwin dapat memelihara pandangan dan juga kemaluan daripada terjebak dalam melakukan kemaksiatan. Bagi sesiapa yang tak mampu untuk berkahwin hendaklah dia berpuasa, kerana puasa dapat menghalang nafsu”. (muttafaq alaih)

Imam an-Nawawi dalam mensyarahkan hadis ini menyatakan bahawa; pendapat ulama terbahagi kepada dua dalam makna “al-baah”.

Pertama dan yang paling sahih: maknanya pada bahasa iaitu jimak. Maksudnya sesiapa di antara kamu yang mampu berjimak dan mampu menyediakan nafkah perkahwinan hendaklah ia berkahwin.

Kedua: maknanya nafkah perkahwinan. Maksudnya sesiapa yang mampu menyediakan nafkah perkahwinan hendaklah berkahwin, dan sesiapa yang tidak mampu hendaklah ia berpuasa bagi mengekang syahwatnya. Mereka yang berpegang dengan pendapat ini menyatakan: maksud sabda nabi “ sesiapa yang tak mampu hendaklah ia berpuasa” mereka berkata; bagi mereka yang tidak mempunyai keinginan seks (jimak) tidak perlu berpuasa untuk mengekang nafsu syahwatnya. Maka wajib mentakwilkan “al-baah” itu kepada kemampuan nafkah

Jelas dalam hadis ini, saranan daripada Rasulullah agar pemuda-pemuda berkahwin bagi mengekang nafsu daripada dilepaskan tidak pada tempatnya. Maka berkahwin di sini atas dasar menghalang nafsu ammarah daripada menguasai diri adalah wajib hukumnya.

Tidak semestinya berkahwin dengan sebab nafsu tidak mempunyai kasih sayang. Ketika proses memilih calon isteri dan bertunang kita digalakkan untuk memilih calon yang sekufu yakni yang sesuai dengan diri kita. Tempoh bertunang merupakan satu tempoh untuk melahirkan perasaan kasih dan sayang agar permulaan di alam rumah tangga bermula dengan baik.

Islam amat memandang berat kepada kesalahan zina kerana ia mengakibatkan keruntuhan sistem kekeluargaan, begitu juga perkara-perkara yang menjebakkan diri dalam kancah zina, seperti berpakaian menjolok mata, melihat aurat bukan muhrim, bersentuhan lelaki dan perempuan tanpa sebab, berdua-duaan lelaki dan perempuan dan sebagainya. Firman Allah taala;

Maksudnya : “dan janganlah kamu menghampiri zina, Sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan Yang keji dan satu jalan Yang jahat (yang membawa kerosakan)”. Al-Israa’ 32

Kesimpulannya berkahwin kerana nafsu bagi mengelakkan diri dari terjebak dalam kancah perzinaan bukanlah satu kesalahan bahkan satu kewajipan. Ia juga tidak boleh dijadikan sebagai hujah bagi menyatakan perkahwinan disebabkan nafsu tidak membawa kebahagian dan memporak-perandakan rumah tangga.

Penulis merupakan Pengurus Pengislaman di Jabatan Yang Dipertua, YADIM

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s