MENGHAYATI BUDAYA ILMU

Posted: September 18, 2010 in Teks ucapan

US. AHMAD PUAAD ABD. RAHMAN

Jab. Pendidikn Islam dan Moral (JUMAAT 27 JUN 2003)

Tuan-tuan, puan-puan dan saudara saudari warga MPTI.

Pertalian guru dengan ilmu merupakan satu hubungan yang sungguh erat bahkan dua elemen yang sinonim, lantaran peranan utama guru menitip dan mewariskan ilmu kepada anak didiknya.

Sehubungan itu, pada kesempatan ini saya berhasrat berkongsi dengan tuan-tuan dan puan-puan secebis bicara berkenaan penghayatan budaya ilmu.

Sidang hadirin sekalian.

Sekalipun guru dan ilmu sinonim, namun secara realitinya budaya ilmu dalam masyarakat guru masih boleh dipersoalkan. Pada pengamatan saya, dalam situasi tertentu dan di kalangan sesetengah guru-guru, budaya ilmu tidak terserlah dan tidak menggambarkan mereka manusia yang menjunjung ilmu.

Tuan Pengarah, Tim. Pengarah dan hadirin sekalian.

Sebelum saya mengulas tentang budaya ilmu, elok kiranya kita renungi apa yang dimaksudkan dengan ilmu dan adakah ilmu sama dengan maklumat.

Saya suka memetik takrifan ilmu yang diutarakan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas yang merujuk kepada aspek content dan implication. Beliau berkata ilmu ialah “ketibaan sesuatu makna hasil daripada maklumat yang benar ke dalam diri seseorang”. Ini bermakna ilmu memerlukan maklumat yang benar yang membawa makna atau bererti kepada seseorang. Justeru itu, komputer tidak dianggap berilmu sekalipun menyimpan beribu-ribu data dan maklumat yang benar kerana maklumat-maklumat tersebut tidak memberi makna atau erti kepadanya.

Bekaitan dengan ini, saya teringat satu kesah teladan yang disisipkan oleh al-Marhum Abul Hasan Ali Al-Nadawi, seorang tokoh ilmuan Islam kelahiran India dalam salah satu penulisan beliau. Ceritanya begini.

“Beberarapa orang siswa sebuah kolej menumpang sebuah perahu dalam satu ekspedisi mereka. Mereka tanya pakcik tuan punya perahu itu “Pakcik tahu tak geografi tu apa… algebra tu apa… ICT tu apa? Pakcik menjawab tak faham dan tak tahupun. Mereka kata “Pakcik telah rugi, ketinggalan dan mensesiakan separuh usia pakcik.” Tiba-tiba angin bertiup agak kencang dan hujan turun dengan lebat, arus sungai mula deras dan perahu bergoyang-goyang. Lalu Pakcik tadi bertanya mereka. “Siapa antara kamu yang belajar ilmu berenang untuk menyelamatkan diri jika perahu kita karam?” Kebetulan tiada seorangpun yang tahu. “Kalau begitu kamu bukan saja telah mensia-siakan separuh usia bahkan seluruh usia kamu jika kamu mati lemas.”

Begitulah akibatnya orang yang tidak berilmu dan kemahiran atau punya ilmu tapi yang tidak bermakna baginya.

Berdasarkan analogi tadi dan kesah tersebut, kita juga tidak dianggap berilmu jika sekadar memiliki maklumat, teori dan fakta yang tidak bermakna kepada diri dan diaplikasi. Malahan seorang ahli fikir Inggeris, Alfred North Whitehead berkata “seseorang yang hanya mempunyai maklumat merupakan orang yang paling membosankan dan tidak berguna”. Dengan ini difahami bahawa ilmu tidak sama dengan maklumat dan maklumt tidak semestinya mempunyai nilai ilmu.

Berbalik kepada pokok perbincangan iaitu budaya ilmu. Apakah yang dikatakan budaya ilmu? Menurut Dr. Wan Mohd. Nor (UIA) budaya ilmu ialah kewujudan satu keadaan di mana setiap lapisan masyarakat melibatkan diri dengan kegiatan keilmuan dalam setiap kesempatan dan keadaan serta segala tindak tanduk mereka berdasarkan ilmu pengetahuan. Ini bermakna ciri-ciri keilmuan terserlah dalam tutur kata, pemikiran, tingkahlaku dan aktiviti individu dan masyarakat.

Para hadirin yang dihormati.

Saya tidak ingin menghurai dengan panjang lebar akan budaya ilmu. Tetapi ingin merumuskan ciri-ciri penghayatan budaya ilmu pada individu dan juga organisasi.

  1. Gemar membaca bahan yang berfaedah atau ilmiah. Perhatikanlah ayat al-Quran pertama yang diturunkan.
  2. Bersedia belajar atau meningkatkan ilmu sama ada secara formal atau tidak formal secara berterusan atau menghayati pembelajaran sepanjang hayat.
  3. Jika mengemukakan pandangan, menyokong atau membangkang sesuatu perkara dengan hujah konkrit berdasarkan ilmu dan fakta bukannya emosi dan sentimen atau suka-suka dan saja-saja nak bangkang. Oleh sebab itu buah fikirannya bernas.
  4. Sedia menerima pandangan berbeza jika benar dan mempunyai hujah bernas.
  5. Buku, majalah dan jurnal memenuhi rak-rak almarinya
  6. Tidak mempercayai tahyul atau perkara karut-marut yang tidak berasas.

Sementara budaya ilmu dalam skala yang lebih besar iaitu dalm keluarga, organisasi, institusi dan masyarakat seharusnya menonjolkan ciri-ciri berikut;

i. Program dan aktiviti yang menyuburkan intelektual dan berasaskan ilmu pengetahuan menjadi fokus mereka.

ii. Menghargai/appriciate karya ilmiah, rekacipta yang berfaedah.

iii. Menggalakkan syura atau perbincangan sebelum memutuskan sesuatu perkara. Firman Allah : Dan urusan mereka diputuskan dengan syura bersama mereka.” Justeru itu, para ahli organisasi tersebut tidak takut untuk mengemukakan cadangan dan pandangan.

iv. Intelctual discourse atau wacana ilmiah menjadi tumpuan dan menarik minat anggota organisasi tersebut.

Demikianlah serba sedikit yang ingin saya utarakan untuk dikongsi bersama jika da kebaikan padanya. Saya menyeru kepada diri sendiri dan semua hadirin agar kita berusaha menghayati budaya ilmu dalam kehidupan individu, keluarga dan berorganisasi ke arah mengisi dan merealisasikan Wawasan 2020.

Buat akhirnya, izinkan saya mengungkap pantun.

Baju biru poket ungu

Guru berilmu murid maju

Baju biru poket ungu

Guru keliru murid dungu.

Kalau ada jarum yang patah

Jangan disimpan di dalam peti

Kalau ada silap dan salah

Jangan disimpan dalam hati.

Wabillahi taufiq wal hidayah wassalamu ‘alaikum

Menurut Sheikh Hassan Basri:
“Tuntutlah ilmu, tapi janganlah anda mengenepikan atau melupakan amal ibadah dan kerjakanlah amal ibadah, tetapi tidak boleh anda lupa pada ilmu kerana kedua-dunya WAJIB.”

Comments
  1. ZAWIAH BINTI SAPARI says:

    TQ USTZ DI ATAS PERKONGSIAN ILMU INI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s