KONSEP SEKOLAH BESTARI

Posted: July 17, 2009 in sekolah bestari

Pengenalan

Sekolah Bestari merupakan salah satu komponen utama dalam projek Koridor Raya Multimedia. Konsep sekolah ini bersandarkan kepada dua asas penting iaitu Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan nilai-nilai murni dan kepakaran teknologi maklumat (IT). Dua asas penting ini yang menekankan kepada pembinaan dan pembangunan potensi secara menyeluruh dan bersepadu serta pembinaan nilai, menjadikan Sekolah Bestari sesuatu yang bitara.

Sekolah Bestari memberi penekanan kepada pendekatan yang terbaik dan berkesan bagi mencapai matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan, menggunakan teknologi sebagai kaedah utama, dan disokong oleh manusia yang berketrampilan, berkemahiran, polisi dan proses.  Ia menggunakan maklumat untuk memilih dan melaksanakan kaedah dan peralatan yang berkesan dan disertai dengan sokongan keperluan organisasi dan pembangunan profesional berterusan.

Dengan kata lain, Sekolah Bestari Malaysia merupakan institusi pengajaran dan pembelajaran yang telah direka semula secara menyeluruh dari segi amalan pengajaran dan pembelajaran serta pengurusan sekolah dengan tujuan menyediakan kanak-kanak untuk ‘zaman maklumat’.  Sekolah Bestari akan berubah mengikut masa, dengan pembentukan staf yang profesional, sumber-sumber pendidikan yang canggih dan keupayaan pentadbiran secara berterusan.  Ini membolehkan sekolah menyesuaikan diri dengan keadaan yang kian berubah, disamping menyediakan pelajar untuk hidup dalam ‘zaman maklumat’. Sekolah Bestari ini memerlukan guru yang berkemahiran dan proses sokongan yang baik untuk berfungsi secara berkesan.

Pelaksanaan Sekolah Bestari menggariskan beberapa matlamat yang bakal memenuhi keperluan individu , masyarakat dan stakeholders iaitu:

·         Melahirkan tenaga kerja yang celik komputer dan mahir teknologi dan berdaya fikir

·         Pendemokrasian pendidikan

·         Meningkatkan penglibatan ‘stakeholders’

·         Pembangunan menyeluruh dengan mengambilkira keupayaan individu

·         Penekanan kepada aspek Intelek, Emosi, Rohani dan Jasmani.

CIRI-CIRI SEKOLAH BESTARI

Budaya Pengajaran dan Pembelajaran Bestari

Sekolah Bestari Sekolah Biasa
  • Budaya kaya ilmu
  • Berfikiran Kritis dan kreatif
  • Berpusatkan pelajar
    • Akses kendiri
    • Kadar kendiri
    • Terarah kendiri
  • Konteks global
  • Penggunaan kemudahan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran
  • Pemerolehan Fakta
  • Berasaskan memori
  • Berpusatkan guru
  • Konteks setempat
  • Buku teks

Sistem Pengurusan

Sekolah Bestari Sekolah Biasa
  • Pengurusan Berasaskan teknologi maklumat secara sepadu bagi melicinkan proses-proses kerja
  • Kolaborasi antara agensi pusat dan sekolah
  • Kemudahan IT dapat membantu pehak pengurusan membuat keputusan secara pantas dengan adanya kemudahan akses kepada maklumat dan perhubungan dengan pihak-pihak yang boleh membantu
  • Berasaskan cara kerja ‘manual’ dan terpisah

Sistem Pentaksiran

Sekolah Bestari Sekolah Biasa
  • Pentaksiran lebih berbentuk tidak formal dan berterusan dan berfungsi sebagai pelengkap kepada proses pengajaran dan pembelajaran
  • Fokus pentaksiran ialah untuk mendapat maklumat berkaitan dengan perkembangan pelajar untuk memudahkan tindakan
  • Pelbagai alat pentaksiran dan bentuk soalan berdasarkan tujuan pentaksiran dan objektif matapelajaran diutamakan
  • Tumpuan pentaksiran ialah perkara atau elemen yang ingin dibentuk dalam pelajar menerusi hasrat dan kandungan kurikulum
  • Prestasi pelajar dilaporkan menerusi kriteria yang menerangkan tahap pencapaian pelajar.
  • Bentuk soalan
  • Tumpuan yang lebih diberi pentaksiran sekolah
  • Prestasi pelajar dilaporkan menerusi markah dan gred
  • Peperiksaan setara diberikan kepada semua murid tanpa mengira kebolehan.

Latar belakang Projek Rintis Sekolah Bestari

Projek Rintis Sekolah Bestari adalah satu daripada projek di bawah Aplikasi Perdana Multimedia Super Corridor (MSC) yang dilancarkan pada tahun 1997. Bagaimanapun projek ini hanya dilaksanakan pada tahun 1999.

Projek rintis ini melibatkan 90 buah sekolah di seluruh negara  dan diusahakan bersama antara kerajaan sebagai controller dan pihak swasta sebagai developer – sejajar dengan cadangan yang dibuat oleh Multimedia Development Corporation (MDC), supaya projek MSC  melibakan perkongsian di antara Kerajaan dengan swasta. Projek rintis ini dijalankan selama tiga tahun mulai 1999 dan melibatkan kos RM300 juta.

Setelah melalui pelbagai peringkat pemilihan dan perundingan, konsortium yang berjaya terdiri daripada  tujuh syarikat tempatan dan tiga syarikat multinasional. Syarikat tempatan membentuk sebuah syarikat usahasama Telekom Smart School Sdn. Bhd. (TSS) dan syarikat multinasional menjadi subkontraktor kepada  TSS.

Penyelesaian yang dibina dan dibekalkan oleh TSS dikenali sebagai “Penyelesaian Bersepadu Sekolah Bestari – Smart School Integrated Solution (SSIS)”. SSIS ini terdiri daripada beberapa komponen utama fizikal dan perkhidmatan. Antaranya ialah:

§          Infrastruktur Teknologi

§          Bahan Pengajaran dan Pembelajaran

§          Perisian Sistem Pengurusan Sekolah Bestari

§          Integrasi Sistem

§          Khidmat Sokongan

§          Komponen lain seperti Pengurusan Projek, Pengurusan Perubahan dan Business Process

Reeingineering (BPR)

Pengurusan dan Pentadbiran Sekolah Bestari

Sekolah Bestari Malaysia sebagaimana yang digariskan di dalam dokumen Smart School Flagship Application– Malaysian Smart School A Conceptual Blueprint (Kementerian Pendidikan Malaysia 1997) memberikan penekanan yang tinggi kepada pengurusan dan pentadbiran sekolah. Seringkali dibuat perbandingan bahawa “jantung” kepada sekolah bestari Malaysia ialah pengajaran dan pembelajaran, manakala pengurusan dan pentadbiran menjadi “otak”nya.  .

Perisian Sistem Pengurusan Sekolah Bestari ( Smart School Management System – SSMS)

Smart School Management System (SSMS) ialah perisian pengurusan dan pentadbiran sekolah yang dibina oleh TSS berlandaskan keperluan yang digariskan di dalam Smart School Flagship Application– Malaysian Smart School A Conceptual Blueprint (Kementerian Pendidikan Malaysia 1997, Smart School Flagship Application:Concept Request for Proposal  The Smart School Management System (Kementerian  Pendidikan Malaysia, 1997) dan Perjanjian Projek Rintis Sekolah Bestari di antara Kerajaan Malaysia dan Telekom Smart School Sdn. Bhd.

SSMS meliputi sembilan fungsi pengurusan dan pentadbiran sekolah, iaitu:

i.        Tadbir Urus Sekolah

ii.        Pengurusan Hal Ehwal Murid

iii.        Pengurusan Sumber Pendidikan

iv.        Pengurusan Sumber Luar

v.        Pengurusan Teknologi

vi.        Pengurusan Kemudahan

vii.        Pengurusan Kewangan

viii.        Pengurusan Sumber Manusia

ix.        Pengurusan Asrama

Perisian SSMS ini juga menjadi pelantar untuk melancarkan perisian bahan pengajaran dan pembelajaran disamping membantu kerja-kerja pengurusan dan pentadbiran seperti yang ternyata di atas.

Objektif SSMS

SSMS dibina dengan objektif utama membantu sekolah menggunakan teknologi dalam mengurus dan mentadbir sekolah untuk menyokong pengajaran dan pembelajaran. White Paper SSMS Release 4 for Teachers (Custommedia 2001) menggariskan objektif SSMS seperti berikut:

§          Meningkatkan keberkesanan pengurusan dan pentadbiran

§          Mengupayakan  proses pembuatan keputusan di pelbagai peringkat di sekolah

§          Menyediakan struktur untuk perkongsian maklumat di sekolah

§          Memaksimumkan pengaksesan, perkongsian dan penggunaan sumber di sekolah

Kawalan mutu SSMS

Perubahan kepada SSMS masih boleh dilakukan sehingga Final System Acceptance (FSA) diberikan oleh Kerajaan. Oleh itu, penambahbaikan yang berterusan dilakukan pada peringkat pembinaan dan juga pada peringkat pengguna. Setelah dipasang, pengguna boleh melapor kepada Meja Bantuan sebarang kekurangan/kesilapan yang ada pada SSMS dan pembetulan akan dilakukan mengikut kewajarannya. Kawalan mutu dilakukan pada setiap peringkat pembinaan dan pemasangan SSMS sehingga FSA.

Masalah yang dilapor kepada meja bantuan akan ditentukan sama ada boleh diselesaikan serta merta atau tidak. Operator yang terlatih akan cuba menyelesaikan masalah ynag dibangkitkan pada masa yang sama. Jika beliau gagal, masalah akan dipindah ke Aras 2 yang juga terletak di Meja Bantuan. Personel Aras 2 akan membuat simulasi masalah yang dibangkitkan dan cuba menyelesaikannya. Penyelesaian  akan disampaikan kepada pelapor dengan segera. Jika Aras 2 gagal untuk menyelesaikannya dan jika dapat ditentukan dari awal bahawa masalah berkenaan tidak dapat diselesaikan pada tahap Aras 2 maka masalah berkenaan akan dipindahkan kepada Aras 3 iaitu dipindahkan kepada pembina bahan berkenaan.

Penutup

Pembinaan SSMS adalah cubaan pertama untuk mengintegrasikan fungsi pengurusan dan pentadbiran sekolah di dalam satu perisian dengan pautan daripada sekolah kepada Kementerian Pendidikan (Pusat Data). SSMS bertujuan membantu pengurusan dan pentadbiran sekolah mengurangkan kerja-kerja perkeranian dan memberi peluang kepada pengguna mengoptimumkan penggunaan teknologi di sekolah. Dengan itu, guru akan dapat menumpukan lebih masa kepada tugas utama mereka iaitu pengajaran dan pembelajaran.

Pengguna memainkan peranan utama dalam menentukan kejayaan sistem ini. Secanggih manapun sistem yang dibina, jika pengguna tidak memanfaatkannya faedahnya tidak akan terserlah. Selain itu, tanpa penggunaan yang meluas, kelemahan dan kekurangannya tidak akan dapat dikesan untuk menambah baik sistem berkenaan. SSMS yang sedang dibina adalah versi pertama yang skopnya terhad kepada ketetapan yang dipersetujui dalam Perjanjian Projek Rintis Sekolah Bestari.  Taraf  ‘ rintis’ itu seharusnya mengingatkan kita bahawa SSMS ini perlu dicuba sebelum pengubahsuaian dan penambahbaikan boleh dibuat.

//

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s